Search

Friday, December 23, 2016

129 gereja terima sumbangan sempena sambutan Hari Natal

TENOM: Sebanyak 129 gereja dari pelbagai denominasi di daerah Tenom dan daerah kecil Kemabong menerima sumbangan sempena menyambut kedatangan sambutan Hari Natal tahun ini.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tenom, Ampalang Payu berkata sumbangan berupa wang ringgit itu adalah komitmen Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi untuk membantu meringankan beban gereja-gereja di daerah Tenom dan Kemabong melakukan persediaan menjelang sambutan Hari Natal.
“Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan salam beliau dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama kerana beliau sedang mengerjakan Umrah di luar negara.
“Setiap tahun, beliau akan menyediakan dana bagi memastikan setiap gereja di daerah ini menerima sumbangan atau bantuan yang diperlukan terutamanya menjelang perayaan Hari Krismas.
“Tahun ini sahaja selain sumbangan sempena Hari Krismas, beliau telah menyediakan lebih RM300 ribu untuk pembangunan infrastruktur gereja-gereja di daerah Tenom dan Kemabong.
“Ini membuktikan beliau mahu semua masyarakat daerah ini tidak kira agama dan kaum menerima peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan yang sentiasa melihat kepada keperluan rakyat.
“Semoga dengan sumbangan ini, diharapkan nilai perpaduan di antara kita semua akan semakin kukuh dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ahli Parlimen Tenom, YB.Datuk Raime Unggi ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Gereja-Gereja Kawasan Parlimen Tenom di Dewan Serbaguna Anugerah Gereja Basel, Pekan Tenom, di sini, kelmarin.
Pada majlis itu, Penguasa Gereja Yesus Benar Kg. Paguokon, Justin Sapau menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda keperihatinan Datuk Raime Unggi terhadap kebajikan dan keperluan semua gereja di daerah Tenom.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau di atas sumbangan yang amat bermakna ini kepada kami yang beragama Kristian,” katanya.
Manakala, wakil dari Gereja SIB Bamban, June Kolor turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Raime Unggi yang sentiasa memberikan sumbangan seperti ini setiap tahun apabila tibanya Hari Natal.
“Harapan kami adalah beliau akan terus memberikan sumbangan seperti ini di masa hadapan dan akan terus menjadi pemimpin kepada kami di kawasan Kemabong dan Tenom, “katanya.
Bagi Undas Ukang, dari Gereja SIB Malutut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada wakil rakyat Datuk Raime Unggi yang memberikan sumbangan kepada setiap denominasi gereja di daerah Tenom.
“Inilah pemimpin yang kami harapkan kerana sentiasa melihat kepada keperluan semua agama dan kaum yang terdapat di daerah Tenom.
“Semoga beliau akan terus diberikan kesihatan yang baik, diberkati Tuhan sebagai seorang pemimpin dan akan terus kekal menjadi wakil rakyat di daerah ini,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Persekutuan Gereja-Gereja Denominasi Kristian Parlimen Tenom yang juga merangkap Pengerusi Gereja CCC Daerah Tenom, Pst.Chu May Wang. -OLEH MIZRON MARALANG-New Sabah Times 23/12/2016